Khamis, 30 Julai 2009

~ lupa, leka atau terbiasa ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

tatkala mata memandang keindahan alam
perkataan 'Wah!'
sering mendahului 'Subhanallah'

tatkala pensel terlepas dari tangan
perkataan 'Oopps'
selalu sahaja mendahului 'Astagfirullah hal adzim'

tatkala berita buruk dikhabarkan
perkataan 'Kesian'
yang meluncur mendahului 'Innalillah'

kadangkala kite terlupa
ada masa kite terleka
mungkin juga kerna terbiasa

namun
moga tatkala maut menjemput
kalimah suci 'Laillah ha illallah'
mendahului segala kalimah

Rabu, 29 Julai 2009

~ pencorak kain ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

kala pagi yang hening
seorang penjual kain
menanti di depan pintu
pintanya belilah kain yang satu ini
kain yang sedikit cacat
telah terpercik warna hitam di permukaannya

rayuannya menyayat hatiku
mengigit sukmaku
lalu kuterima tawaran itu
walau ku tak tahu
apa yang mampu ku laku

lalu saban hari
aku mencorak kain itu
dengan warna baru
adakalanya dengan belaian penuh mesra
adakalanya dengan amarah yang membara
aku cuba segalanya
menutup tompok2 hitam itu

sangka ku
tompok2 hitam itu tak akan mengganggu
hanya kan jadi hiasan tak terpandang
malangnya
tompok2 itu bernyawa lagaknya
meresap dalam
merebak ke seluruh urat benang
membesar hari demi hari

sudah puas ku laku segala termampu
segala warna telah ku lakar
segala teknik telah ku tempa
namun hasil akhirnya
hitam likat legap tak terbayang

Ya Allah
habis sudah dayaku
lesap sudah tenagaku
tepu sudah mindaku
lesu tak bermaya

Maka buat sekian kalinya
hanya doa mampu ku kirim
seiring pemergianmu
walau bukan itu hendakku
tapi demi masa depan mu
demi yang terbaik buatmu

moga suatu hari nanti
kita kan bertemu lagi
dan semoga kala itu
kain mu indah berwarna warni
seindah pelangi

Isnin, 27 Julai 2009

~ benarkah bagai dikata? ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

Dari kecil aku dah diberitahu... Allah itu Maha Kuasa.. hanya Dia yang patut digeruni...
Maka aku pun mengangguk-anggukan kepala...mengulang-ngulang frasa itu 'Allah Maha Kuasa'... Tapi aku cukup tak faham bila senja tiba... aku dimomok-momokkan... cepat masuk nanti kena sorok dengan hantu pisang... lalu aku pun berlari-lari anak...masuk ke rumah..semuanya gara-gara takutkan hantu pisang...

Pabila aku sudah bersekolah...ustaz ustazah mengajarku aku...kata mereka Allah itu Maha Kuasa... hanya Dia yang mampu memberi musibah pada semua... Maka aku pun mengangguk-anggukan kepala...mengulang-ngulang frasa itu 'Allah Maha Kuasa'... tapi aku cukup tak faham... suatu malam... 'senior' mengumpul kami dalam satu bilik... aku dimomokkan lagi... 'senior'lah yang 'berkuasa' di sini... andai kamu mahu hidup kamu senang di sini... ikut cakap kami... jika tidak...kan meranalah diri... dan aku tunduk patuh, pada setiap kata suruh... gara-gara takutkan hidup ku disusahkan 'senior'...

Kala aku ke luar negara... ibu bapaku berpesan padaku... hanya Allah yang Maha Kuasa... hanya Dia yang mampu membantu kamu... Maka aku pun mengangguk-anggukan kepala...mengulang-ngulang frasa itu 'Allah Maha Kuasa'... hanya Dia mampu membantu aku... tapi kala ujian menimpa diri.. aku berlari ke sana sini... mencari manusia-manusia biasa... meminta itu dan ini... kerna takut hidup di dunia tak sesenang mana...

aku jadi2 tertanya-tanya... mengapa ucapan itu tak terkesan di hati... mengapa susah memaknakan apa yang diajarkan... hinggalah aku mengenal dakwah dan tarbiyyah yang sebenar... yang mengajar aku merasa dengan hati, melihat dengan hati, mendengar dengan hati, dan melaksanakannay dengan hati juga... maka baru ku rasa 'kebesaran' itu Ya Allah.

~ ada pada ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

ketenangan ada pada jiwa yang mengingati-Nya
kekayaan ada pada jiwa yang memberi kerana-Nya
kebahagian ada pada jiwa yang bersyukur pada-Nya
kesabaran ada pada jiwa yang percaya pada janji-Nya
kebebasan ada pada jiwa yang menghambakan diri hanya pada-Nya

Ahad, 26 Julai 2009

~ benarkah kita telah bersyukur? ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

Kita yakin bahawa sungguh banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Namun, mungkin sebagian besar besar daripada kita belum tentu yakin telah berterima kasih dengan sebenar-benarnya sesuai kehendak Maha Pencipta. Bahkan mungkin banyak antara kita yang masih menganggap nikmat Allah adalah hanya pemberian Allah berupa rezeki. Oleh kerana itu, banyak antara kita yang bersyukur atau mengucap syukur ‘hanya’ ketika beroleh rezeki. Sedangkan masih banyak kriteria lain yang mengharuskan seseorang itu bersyukur.

Sebelum kita mengukur diri, sejauh mana kita telah menunjukkan rasa syukur kita kepada Allah, kita harus memahami bentuk dan maksud dari pengungkapan ‘syukur’ itu sendiri. Dalam Al-Quran dijelaskan bahawa maksud dari ungkapan syukur kepada Allah adalah sedaya upaya sedar kita untuk memfungsikan penglihatan, pendengaran dan hati secara benar. Hal ini dinyatakan dalam Al-Quran, surah An-Nahl (16:78); yang ertinya: ‘Sesungguhnya Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati agar kamu bersyukur.’

Dari ayat tersebut kita memahami bahawa bentuk dan cara bersyukur bukan hanya hanya ucapan di mulut atau melakukan sujud syukur, tapi melibatkan seluruh proses diri khususnya penglihatan, pendengaran dan hati. Oleh sebab itu, seseorang yang memelihara pendengaran dengan menggunakannya kepada hal-hal yang baik; dan yang memfungsikan hati sesuai kehendakNya, dialah orang yang telah bersyukur.

Dengan demikian, orang-orang yang tidak memfungsikan pendengaran, penglihatan dan hati secara benar adalah orang-orang yang lalai. Ini dinyatakan dalam surah Al-A’raf (7:179), yang bermaksud: ‘Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakkannya dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak menggunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah dan mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakan untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah, dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu laksana binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Berdasarkan firman-firman Allah tersebut, ia mengubah persepsi kita tentang bentuk dan cara bersyukur. Jangan-jangan ucapan hamdalah dan sujud syukur kita selama ini sebagai tanda syukur tidak sampai kepada Allah, kerana kurang lengkap atau belum menepati kriteria Al-Quran dan sunnah. Mungkin saja Rasulullah memerintahkan kita mengucap hamdalah dan melakuan sujud syukur sebagai tanda ungkapan syukur kepada Allah dan dalam masa yang sama pendengaran, penglihatan dan hati kita sudah berfungsi secara benar.

Namun, kemungkinan tersebut bukan bererti bahawa ucapan hamdalah dan sujud syukur ‘tidak bererti’, tetapi harus diiringi dengan pemungsian potensi dalam diri kita secara benar. Jangan sampai mulut kita mengucap syukur dan dahi kita menyentuh lantai, maksiat tetap terus berlaku. Bahkan jangan sampai bentuk syukur kita kepada Allah malah menjadi ‘kufur’ menurut pandanganNya. Selain itu, dalam sebuah hadis dikatakan bahawa yang paling pandai bersyukur kepada Allah adalah yang paling pandai beryukur kepada manusia. Jadi bagaimana dengan kita?

Persoalan seterusnya ‘bila kita harus bersyukur?’ Mungkin kita juga kadang-kadang tidak dapat menjawabnya. Setiap tahunkah? Setiap bulankah? Setiap minggukah? Setiap jam, minit atau detik? Ketahuilah bahawa dalam setiap nafas dari seluruh nafas ada syukur yang wajib atasmu.

Syukur yang paling rendah, antaranya adalah menyakini bahawa seluruh nikmat datangnya dari Allah, tidak menggunakan nikmat Allah untuk maksiat, dan tidak membangkang perintah Allah. Pengakuan dengan lisan yang tulus kepada Allah bahawa kita tidak mampu mencapai tingkat syukur yang paling rendah sekalipun. Dengan demikian, jika kita ingin mencapai hakikat syukur paling sempurna, tidaklah kita terlepas dari pemungsian potensi diri khususnya hati kita.

Oleh kerana itu, belajarlah untuk bersyukur dengan segala nikmat yang ada. Bersihkan diri khususnya hati adalah penting kita lakukan. Sehingga akan terbentuklah diri kita yang mampu bersyukur sebanyak helaan nafas kita selama ini. Amin.

Rabu, 22 Julai 2009

~ ilmu dan hawa nafsu ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

"Kita sekarang berada di suatu zaman di mana hawa nafsu mengikut ilmu
dan akan tiba suatu zaman di mana ilmu mengikut hawa nafsu"

Di zaman manakah aku berada?
Apa maksudmu wahai hukama'?

Isnin, 20 Julai 2009

~ doa seorang peminjam ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

dan hari ini
seperti hari-hari yang lain
air mata itu gugur di antara jari-jari
yang sedang menadah tangan
memohon kekuatan
memohon ketabahan
dari Dia
yang telah
mengatur setiap ketentuan


Ya Allah yang Maha Pemurah
yang memberi pinjaman segala keperluan
redhakanlah hati ini
pabila perlu
memulangkan yang telah dipinjam
atau meminjamkan pinjaman kepada peminjam yang lain

janganlah Ya Allah
Kau penuhi hati ini
dengan rasa ingin memiliki
dengan rasa mempunyai
kerna takdir setiap yang dipinjami
tiada yang kekal abadi