Memaparkan catatan dengan label ilustrasi sekeping hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ilustrasi sekeping hati. Papar semua catatan

Khamis, 25 Julai 2013

~bangkit~

dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

dalam tasbih & tahmid
aku cuba bangkit
dari silam yang lekit

Ya Allah
kerajaanMu seluruh alam semesta
kekuatanMu seluas alam buana
kupohon sepenuh jiwa raga
ampunkan segala dosa

Ahad, 30 Jun 2013

~Monolog~

dengan nama Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Malam ini
Kuutus secebis doa
Dalam gigil dan dingin

Monologku adalah sekeping hati hilang punca
Dicicah secawan kopi tanpa gula
Dalam hujan sendu rasa

Andai ku bertamu ke rumahMu
Sudikah Kau menerimaku
Memberi sedikit candu
Agar hati mabuk rindu
Hanya padaMu

Jumaat, 22 Februari 2013

~bekalan bertemu Dia~

dengan nama Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

luka nan busuk  - bebatlah
hitamnya dosa  - kikislah
sesalan nan tinggi - teladanilah
putihnya pahala - himpunlah
buat bekalan bertemu Dia Yang Satu

Isnin, 14 Januari 2013

~aku harap~

dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

kala manusia asyik memuja sesama mereka
aku harap aku masih ingat untuk memuja-Mu

kala manusia mabuk cinta sesama mereka
aku harap aku masih mampu cinta pada-Mu

dunia akhir zaman ini amat menakutkan
aku harap aku hanya takut pada-Mu

Sabtu, 22 September 2012

~ rindu baitullah ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

Tuhan
jemputlah aku
menjadi tetamuMu
agar ku bisa berteduh
di sudut rumahMu
agar ku bisa mencicip
sedikit ketenanganMu
agar ku bisa meminjam
sebahgian kekuatanMu
jemputlah aku
sebagai tetamuMu
Tuhan

Selasa, 25 Mei 2010

~andai ada waktu terluang~

dengan nama Allah yang Maha Berkuasa


pesan nenda

andai ada waktu terluang

mampirlah ke mari

akan aku lagukan simfoni Illahi

agar kau kenal Dia & sifat-sifat kebesaran-Nya



pesan nenda

adai ada waktu terluang

mampirlah ke mari

akan aku senandungkan ceritera para pesuruh-Nya

agar kau kenal ketaatan & ketabahan mereka



pesan nenda

andai ada waktu terluang

mampirlah ke mari

akan ku puisikan kisah para sahabat

agar kau kenal sejarah Kita; jatuh bangunnya



saban waktu

aku tak pernah mampir

ujarku "aku sibuk sekali, lain kali ya nenda"



& hari ini tatkala aku mampir

tubuhmu kaku, bibirmu bisu

buat selamanya

& aku tertanya sendiri


bagaimanakah simfoni Illahi itu?

apakah ceritera pesuruh-Nya itu?

siapakah para sahabat itu?


& aku tinggal tertanya

benarkah aku ngak pernah punya masa terluang

walau sedikit, walau sedetik …



(!_!)

Sabtu, 22 Mei 2010

~siput~

dengan nama Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Memiliki

siput-siput itu
engsotnya satu-satu
walau lambat
tapi langkahnya pasti

rumah dijunjungnya
walau hujung dunia
tujunya

benar
biar lambat asal selamat

namun
sampai bila mahu begini
menjunjung pondok tak bertanah

sampai bila
mahu melangkah
satu
demi
satu

mereka dah ke depan
siput masih mengengsot
pelan-pelan

andai mentari dah terbenam
mungkinkah sampai
penghujung garisan?

22510
hujan renyai
p5

Selasa, 4 Mei 2010

~ culas ~

dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

telah culas
melaksana suruhanNya
telah culas
menjauhi laranganNya
telah culas
tunduk patuh padaNya
telah culas
tubuh dan hatinya


dan sungguhlah
Sang Iblis jua
tak mungkir janjinya
tak pernah culas
memujuk dan merayumu
agar culas senantiasa

*ingatlah saat dirimu berat melaksana ibadat, iblis tak pernah berehat*

adaptasi dari
http://najwaaiman.blogspot.com/2010/05/culas-jua.html

Isnin, 1 Februari 2010

~perlu hidup untuk mati~

dengan nama Allah yang Maha Berkuasa untuk menghidupkan dan mematikan

Digit pada usia......
baru saja bertambah
Rupa bentuk badan......
dah tak boleh diubah
Perangai baru dan lama......
perlu segera berubah
Nilai pahala dan dosa......
harapnya sempat digubah
Tempoh hidup di dunia......
tak mungkin bertambah

Hidup
memang bermula hari ini
kerana aku perlu hidup
untuk menempuh mati

najwa aiman

-subhanallah, walhamdulillah,waasataghfirullah...Ya Allah moga sisa usiaku ini dilabur pada perkara yang bermanfaat semata...amin-

Ahad, 17 Januari 2010

~ 1 Muslim ~

dengan nama Alah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

hanya berkongsi sebuah sajak yang mengetuk pintu hati dan minda


Dalam 1 Malaysia
kita berkongsi tanah
tapi tidak budaya
tidak juga bahasa
tidak juga agama
apatah lagi syahadah


Dalam1 Muslim
kita tidak berkongsi tanah
tapi kita mentauhidkan Allah
berkongsi Rasulullah
berpaksi satu syahadah
dan mati kita demi kalimah
Laa ilaha illallaah Muhammadar-rasulullaah

sumber: najwa aiman

Sabtu, 24 Oktober 2009

~ bawa hati ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

kembara diri mencari Tuhan
pasti ada mehnah dan ujian
bawalah hatimu kepada Tuhan
pasti segalanya rasa manisan
seindah seaman syurga idaman

Ahad, 18 Oktober 2009

~usah meminta-minta~

dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Usah meminta cantiknya rupa
Kerna moleknya akhlak lebih utama

Usah meminta uwang berjuta
Kerna kaya ilmu lebih selesa

Usah meminta hati gembira
Kerna tak semesti bahagia di SANA

Pintalah redhaNya setiap ketika
Kerna itulah matlamat dicipta

~Ya Allah, kurniakanlah redhaMu dalam setiap desah nafas kami, dalam setiap gerak langkah kami, moga akhirnya kami kan bersatu di syurgaMu, amin~

Rabu, 16 September 2009

~ dia kan berangkat pulang ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

Senggang masa hanya sedikit
Ruang bermanja sejuring cuma

Kerna dia kan berangkat pulang
dia kan kembali seperti selalunya

namun Aku masih belum puas
Berteman dengan dia

Walau banyak masanya Aku hanya memejam mata
Walau banyak ketikanya Aku berkerja bagai tiada esoknya

lalu Aku bertanya sendiri
Kala takbir kemenangan berkumandang
apa kejayaan yang Aku raikan
apa pencapaian yang Aku agungkan

sedang dia kan berangkat pulang

Sabtu, 22 Ogos 2009

~ DIA yang dirindu telah tiba ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

DIA yang dirindui telah hadir
berdiri tegap di hadapan pintu

Jemputlah DIA masuk
Persilakan dengan sopan
Layanlah dia dengan penuh kasih-sayang
Curahkanlah segala rindu dendammu padanya
Temani DIA saban waktu
seolah-olah kau tak mampu hidup tanpanya di sisi
Bawalah DIA kunjungi setiap taman indah yang ada
Biar rasa indah ini tersemat indah di hati

Moga ia jadi bekalan
buatmu menempuh 11 purnama tanpanya di sisi
Moga ia jadi motivasi
buatmu melangkah tanpa ragu-ragu lagi

DIA kan pasti pergi
Permergian DIA kan pasti ditangisi
Maka setiap detik 30 hari yang berharga ini
Janganlah disia-siakan seolah tak bererti
Kerna DIA berjanji akan berkunjung lagi
Cumaku takut aku yang tak mampu menepati janji
Kerna hanya janji ALLAH yang pasti

-Ya Allah, moga Ramadhan ini mampu membina diriku untuk perjalanan mendatang-

Selasa, 18 Ogos 2009

~ bahasa yang difahami ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

dia berbicara bahasa Tuhan
yang mampu didengari oleh si tuli
yang mampu dilihat oleh si buta
kerna ia mampu difahami oleh hati

-Ya Allah, aku ingin sepertinya, bicaranya sentuh ke hati, amin -

Selasa, 4 Ogos 2009

~ hilaian sang batil, sorokan sang kebenaran ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

Layakkah kebenaran itu disembunyikan?
Sedang hilai tawa musuh gegak gempita.
Kebenaran bukan malu,
Bukan juga tidak kuat dan kurang gentar.
Kepalsuan dan keindahan fana membuai jiwa-jiwa
Yang dalam bawah ketidaksedaran,
Kepalsuan itu bukannya kebenaran.
Layakkah kepalsuan bermahkota?
Sedang sedu-sedan pejuang menangisi kehilangan kebenaran,
Dari hati jiwa-jiwa yang lena terbuai dengan ayunan tangan-tangan halus,
Kehalusan kasar yang menipu semata.
Kesedaran pejuang, ingin bangkit menarik kebenaran,
Yang bukan segan, tetapi terbelenggu oleh rantai kepalsuan.
Sampai bila?
Pejuang tidak tahu erti menunggu.
Yang pejuang tahu, kebenaran itu harus pantas dikeluarkan dari sorokan.
Kepalsuan harus bersedia, mereka akan dikalahkan!

Khamis, 30 Julai 2009

~ lupa, leka atau terbiasa ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

tatkala mata memandang keindahan alam
perkataan 'Wah!'
sering mendahului 'Subhanallah'

tatkala pensel terlepas dari tangan
perkataan 'Oopps'
selalu sahaja mendahului 'Astagfirullah hal adzim'

tatkala berita buruk dikhabarkan
perkataan 'Kesian'
yang meluncur mendahului 'Innalillah'

kadangkala kite terlupa
ada masa kite terleka
mungkin juga kerna terbiasa

namun
moga tatkala maut menjemput
kalimah suci 'Laillah ha illallah'
mendahului segala kalimah

Isnin, 27 Julai 2009

~ ada pada ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

ketenangan ada pada jiwa yang mengingati-Nya
kekayaan ada pada jiwa yang memberi kerana-Nya
kebahagian ada pada jiwa yang bersyukur pada-Nya
kesabaran ada pada jiwa yang percaya pada janji-Nya
kebebasan ada pada jiwa yang menghambakan diri hanya pada-Nya

Isnin, 20 Julai 2009

~ doa seorang peminjam ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

dan hari ini
seperti hari-hari yang lain
air mata itu gugur di antara jari-jari
yang sedang menadah tangan
memohon kekuatan
memohon ketabahan
dari Dia
yang telah
mengatur setiap ketentuan


Ya Allah yang Maha Pemurah
yang memberi pinjaman segala keperluan
redhakanlah hati ini
pabila perlu
memulangkan yang telah dipinjam
atau meminjamkan pinjaman kepada peminjam yang lain

janganlah Ya Allah
Kau penuhi hati ini
dengan rasa ingin memiliki
dengan rasa mempunyai
kerna takdir setiap yang dipinjami
tiada yang kekal abadi

Selasa, 14 Julai 2009

~ berlari bukan melarikan diri ~

dengan nama Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

aku
dan larian
tak boleh dipisahkan

aku
suka berlari
dan melarikan diri

tapi saat ini
tapi di jalan ini
aku mahu berlari
tapi bukan melarikan diri

aku ingin berlari
dan terus memecut lagi
di atas jalan yang satu ini

pandulah aku Ya Illahi
agar aku tak melencong lagi
tapi tetap terus tegap di jalan ini
walau sebesar gunung ujian yang mendatangi

-saya dah ada jawapan untuk murobbi saya 'Ya, saya mahu lari lagi, saya akan terus lari, tapi bukan melarikan diri!'...Ya Allah pasakkan kakiku di jalan ini, kerna aku tak sanggup tercicir lagi-