dengan nama Allah yang Maha Melihat lagi Maha Mendengar
Saya sering tersesat pabila pergi ke kawasan yang baru saya jejaki. Memandu ke tempat-tempat ini sering menguji ketahanan mental dan fizikal saya. Baru-baru ini kerana sebuah janji saya terpaksa memandu ke satu tempat yang baru. Seperti yang dijangka saya sesat lagi. Peristiwa sesat ini mengajar saya sesuatu.
Apa yang anda lakukan pabila anda sesat? Ada yang berjalan mengikut kata hati. Ada yang berhenti dan bertanya pada orang sekeliling. Saya pula menggunakan teknologi yang ada, mendail no telefon kawan-kawan saya. Tapi oleh kerana tidur malam yang tidak mencukupi, saya tidak dapat memahami arahan yang diberikan. Akhirnya saya berhenti di suatu tempat dan memohon sahabat saya itu untuk mengambil saya. Dalam penantian itu saya terfikir...
Andainya kita sesat dalam perjalanan hidup, kita juga perlu mencari jalan keluar. Kita tidak boleh hanya menanti. Kita perlu mencari, memanggil, mahupun berteriak pada mereka-mereka yang boleh menunjukkan jalan. Seandainya kita hanya berdiam diri, kita pasti akan semakin tersesat. Lagipun orang-orang lain tidak tahu kita sesat. Mereka sangka kita tahu jalan yang betul andai kita tidak bertanya. Dan adakalanya kita perlu berhenti supaya orang lain boleh mencari kita dan membawa kita ke jalan yang betul. Kerana semakin jauh kita tersesat semakin lama masa yang diambil oleh orang lain untuk sampai dan membawa kita bersama-sama ke jalan yang betul.
Maka, sekiranya anda sesat, usahlah malu atau segan untuk mendapatkan pertolongan. Sesungguhnya, lebih cepat kita memohon pertolongan semakin cepat kita akan sampai kembali ke jalan yang kita cari-cari.
wallahua'alam