Rabu, 16 September 2009

~ dia kan berangkat pulang ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

Senggang masa hanya sedikit
Ruang bermanja sejuring cuma

Kerna dia kan berangkat pulang
dia kan kembali seperti selalunya

namun Aku masih belum puas
Berteman dengan dia

Walau banyak masanya Aku hanya memejam mata
Walau banyak ketikanya Aku berkerja bagai tiada esoknya

lalu Aku bertanya sendiri
Kala takbir kemenangan berkumandang
apa kejayaan yang Aku raikan
apa pencapaian yang Aku agungkan

sedang dia kan berangkat pulang

Selasa, 8 September 2009

~ proses pendidikan ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih



"Mendidik tidak bererti mengajar orang akan apa yang mereka tidak ketahui tetapi mendidik adalah suatu pekerjaan yang memakan hati, yang perlu dijalankan terus menerus, yang sangat sulit dan perlu dilaksanakan dengan ramah-tamah, pengawasan, peringatan, perintah dan pujian serta terutama sekali -memberi teladan"


John Ruskin (1819-1900)


Satu daripada pandangan yang dapat menghuraikan proses pendididkan dengan baik (pada sayalah). Proses pendidikan tidak terhenti setakat hari ini sahaja. Malah seorang pendidik perlu berfikir bagaimana caranya untuk memastikan pendidikan yang diberikan pada waktu ini mampu memberi impak yang panjang dalam kehidupan insan yang dididik.



Dan janganlah anda berharap dengan mengajar sekali sahaja pelajaran itu akan mampu dicerna oleh semua orang. Sesungguhnya ianya perlu diulang-ulang agar ianya boleh dihuraikan oleh otak dan difahami dengan hati.



Memang proses mendidik adalah satu proses yang amat sulit; ianya menuntut pengorbanan dari segala segi. Maka apabila anda memilih untuk mendidik (tidak kira siapa yang anda ingin didik;ahli keluarga, sahabat, pasangan, anak murid) bersedialah untuk sebuah perjuangan yang menuntut pengorbanan demi satu pengorbanan. Ada seorang sahabat saya pernah berkata 'an educator is one of the most selfless person in this world, a good educator will always put others before themselves.'



Perkara yang terpenting dalam mendidik adalah memberi teladan. Sesungguhnya seorang pendidik itu amat perlu menitikberatkan tatacara dan perilaku mereka kerana insan-insan yang dididik akan sentiasa mengambil pendidik sebagai contoh ikutan mereka. Maka berusahalah menjadi contoh tauladan terbaik bagi insan-insan yang didik, apatah lagi jika kamu itu mendidik manusia untuk mengenal Tuhannya.

Wallahua'lam.

Ahad, 6 September 2009

~ setiap yang ada di atas tanah adalah tanah ~

dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih

Hidupkanlah hatimu kerana hanya orang yang mempunyai hati yang hidup yang dapat mempengaruhi pendengar dan dan pengikutnya. Sedangkan orang yang mati hatinya tidak kan mungkin mampu menghidupkan hati orang lain kerana orang yang tidak memiliki sesuatu tidakkan mungkin dapat memberikannya kepada orang lain.

Manusia-manusia yang hidup hatinya ini pabila berkata-kata, akan masuklah segala-galanya ke hati para pendengarnya tanpa perlu meminta keizinan. Tapi, pabila kata-kata itu keluar hanya dari lidah maka pengaruhnya takkan sekali-kali melangkaui telinga. Malah mungkin saja masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Sesungguhnya hati manusia itu sama seperti tubuh badan, hati memerlukan tiga perkara untuk terus hidup dan sihat:

a) pemeliharaan supaya ia selamat
b) makanan supaya ia hidup
c) pengubatan supaya ia hidup

sumber:at-tarbiyyatulislamiyah wa madrasatu Hassan Al-Banna