Khamis, 25 Julai 2013

~bangkit~

dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

dalam tasbih & tahmid
aku cuba bangkit
dari silam yang lekit

Ya Allah
kerajaanMu seluruh alam semesta
kekuatanMu seluas alam buana
kupohon sepenuh jiwa raga
ampunkan segala dosa

Ahad, 30 Jun 2013

~Monolog~

dengan nama Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Malam ini
Kuutus secebis doa
Dalam gigil dan dingin

Monologku adalah sekeping hati hilang punca
Dicicah secawan kopi tanpa gula
Dalam hujan sendu rasa

Andai ku bertamu ke rumahMu
Sudikah Kau menerimaku
Memberi sedikit candu
Agar hati mabuk rindu
Hanya padaMu

Jumaat, 22 Februari 2013

~bekalan bertemu Dia~

dengan nama Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

luka nan busuk  - bebatlah
hitamnya dosa  - kikislah
sesalan nan tinggi - teladanilah
putihnya pahala - himpunlah
buat bekalan bertemu Dia Yang Satu

Rabu, 16 Januari 2013

~I have~

dengan nama Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui


“I have the moon and the sun, because I have Allah in my soul."
Andai saja ayat ini mampu disemai dalam hati, tiada apa lagi yang kumahukan. Mungkin ini apa yang tersimpan dalam hati para pencinta-Mu Ya Allah.

Isnin, 14 Januari 2013

~aku harap~

dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

kala manusia asyik memuja sesama mereka
aku harap aku masih ingat untuk memuja-Mu

kala manusia mabuk cinta sesama mereka
aku harap aku masih mampu cinta pada-Mu

dunia akhir zaman ini amat menakutkan
aku harap aku hanya takut pada-Mu

Ahad, 21 Oktober 2012

~ aku miskin namun ~

dengan nama Allah yang Maha Melihat lagi Maha Mendengar

Tuhan, aku ini miskin harta. Aku juga miskin amal. Serasanya aku ini seperti fakir miskin yang hina dina. Namun, aku sering bermimpi untuk berpimpin tangan dengan para penghuni syurgaMu.

Tuhan, aku ini miskin harta. Aku juga miskin kesabaran. Serasanya beribu kali aku gagal menahan diri dari melakukan perkara yang dilarang. Namun, aku sering bermimpi untuk bercanda ria bersama bidadari bermata jeli.

Ahad, 7 Oktober 2012

~terima kasih Allah~

dengan nama Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Seminggu telah berlalu. Seminggu juga dia telah berangkat menemui kekasih hatiNya.

Terima kasih Allah kerana meminjamkan dia buat kami. Terima kasih kerana mengajarku erti kesabaran melalui dia. Senyumannya masih terbayang-bayang dimata. Lembut tutur bicaranya masih terngiang-ngiang di telinga. Sikap pemurahnya masih terpahat di dada. Terlalu banyak pengajaran yang Kau sampaikan melaluinya yang jarang sekali berbicara denganku. Sesungguhnya terlalu banyak yang aku pelajari hanya dengan memerhati perlakuan dan akhlaknya.

Terima kasih Allah kerana menjemput dia berada di sisiMu. Terima kasih Allah kerana telah berakhir penderitaan dan ujian buat dia. Meski berat buat kami tapi lebih berat buatMu melihat dia menderita. Pinjamkanlah sedikit kekuatanMu Ya Allah terutama buat belahan jiwanya. Terimalah segala amalanya Y Allah. Moga dia tenang di sana.

Al-Fatihah